Tuesday, February 25, 2014

NASIONAL Amalan bakar jerami punca jerebu

Amalan bakar  jerami punca jerebuPesawah di Kota Sarang Semut membakar jerami dalam keadaan cuaca panas dan kering selepas padi dituai. - Foto Sharul Hafiz izam
Pembakaran perlu dikawal elak pencemaran asap

Alor Setar: Amalan pembakaran jerami sebagai sebahagian kaedah untuk memulihkan nutrien sawah oleh petani, berisiko menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara. 


Jika pembakaran tidak terkawal, ia berisiko menimbulkan pencemaran asap terutama dalam keadaan cuaca kering dan panas melampau akibat kemarau berpanjangan. 


Tinjauan mendapati pembakaran jerami di daerah ini, Pendang, Jerai dan Yan menyebabkan asap tebal memenuhi ruang udara di sawah dan kawasan kediaman.

Ia menimbulkan risiko terutama mereka yang menghidap penyakit berkaitan pernafasan, lebih-lebih lagi apabila kualiti udara semakin merosot berikutan peningkatan kes kebakaran hutan dan belukar. 

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohd Hafiz Suhaimi, berkata 1,318 kebakaran dikesan di seluruh negeri sejak 1 Januari hingga kelmarin, dengan lebih separuh membabitkan pembakaran lalang, belukar dan jerami.

Terima 100 panggilan 
Kebiasaannya, jabatan berkenaan menerima 100 panggilan setiap hari, dengan 70 daripadanya adalah kebakaran lalang, belukar dan jerami.

Bagaimanapun, sehingga kini, 878 daripada 1,318 kes yang dilaporkan membabitkan kebakaran lalang, belukar dan jerami termasuk yang dilakukan petani.

“Apa yang pasti, kes kebakaran dalam tempoh kurang dua bulan itu lebih tinggi berbanding keseluruhan kes kebakaran membabitkan lalang, belukar dan jerami sepanjang tahun lalu yang mencatat 402 kes,” katanya semalam.

Catatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga jam 12 tengah hari semalam, menunjukkan kualiti udara di Kedah kurang memuaskan terutama di Sungai Petani dan Bakar Arang dengan bacaan 67 iaitu di tahap sederhana, manakala di Alor Setar pula 43.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengakui amalan pembakaran jerami padi berisiko mencetus kebakaran lebih besar, sekali gus menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.

No comments:

Post a Comment