Program realiti 'Bintang Mencari Bintang' ialah sebuah rancangan yang memperlihatkan kewibawaan barisan sifu terkenal tanah air dalam menggilap bakat baru berdasarkan bakat sketsa komedi dan nyanyian bakal kembali untuk musim yang kedua. 
 
Pada musim ini, peminat setia bakal menyaksikan persaingan sengit antara anak didik yang dibimbing oleh sifu-sifu yang mempunyai portfolio tinggi dalam bidang ini. Enam sifu yang memegang tanggungjawab besar dalam mencorak haluan anak didik musim ini adalah Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Faizal Ismail (FBI), Saiful Apek, Adlin Aman Ramli dan Ebby Yus. 
 
Sepanjang 16 episod, BMB2 menampilkan Adibah Noor dan Achey sebagai pengacara program. Selain itu, BMB turut menampilkan Fauziah Ahmad Daud untuk mengisi kerusi juri pada setiap minggu. Manakala, dua lagi juri tetap ialah A.R Badul untuk juri konsert Kumpulan A dan Ahmad Idham juri untuk konsert Kumpulan B.  
 
Seramai 12 peserta yang terdiri daripada seorang peserta solo dan 11 peserta kumpulan telah dipilih untuk menggamatkan saingan BMB2 kali ini. Setiap sifu akan mempunyai dua anak didik yang bertanding iaitu satu dari Kumpulan A dan satu lagi dari Kumpulan B. 
 
Bagi saingan peringkat pertama, anak didik akan berentap mengikut kumpulan selama empat minggu dan anak didik yang mendapat markah terendah akan disingkirkan. Kemudian bagi peringkat kedua, anak didik dari Kumpulan A dan B yang belum tersingkir akan bertemu untuk bersaing di peringkat separuh akhir. 
 
Sebelum tiba minggu terakhir, hanya lima kumpulan, layak berentap di peringkat akhir BMB2 untuk merangkul gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM200,000 berserta trofi.
 
Untuk musim kedua ini, format permarkahan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 50% daripada juri profesional, 30% melalui undian SMS dan WeChat dan 20% daripada juri awam yang terdiri dari kalangan pelajar seni persembahan, wartawan, golongan semi-profesional dalam industri sketsa komedi dan nyanyian. Juara BMB2 akan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM200,000 beserta trofi.
 
Sementara itu, penonton berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat kesemua anak didik BMB2 menerusi KOMIK BMB yang akan disiarkan selama 30 minit pada setiap hari Ahad jam 5.30 petang. Program yang dihoskan oleh bekas anak didik BMB musim pertama iaitu kumpulan Titan ini juga akan membawa penonton melihat gelagat anak didik serta perkara-perkara yang bakal terjadi ketika mereka menghadiri kelas latihan dan juga perkara-perkara yang berlaku semasa mereka membuat persiapan untuk berentap di pentas BMB2. 
 
Di samping itu, ’Bintang Mencari Bintang Spontan’ yang merupakan program spin off daripada BMB2 bakal disiarkan menerusi TV9 bermula 4 Mei 2014 setiap hari Ahad jam 8.30 malam. Menerusi program 30 minit yang dihoskan oleh naib juara BMB musim pertama iaitu Fad dan Abam dari kumpulan Bochik, para penonton dapat menyaksikan gelagat anak didik BMB musim kedua tampil melakukan cabaran sketsa yang bertemakan spontan. Pemenang akan ditentukan oleh undian peserta BMB2 itu sendiri dan sebanyak RM2,000 menanti buat pemenang program ini. 
 
Ikuti konsert BMB2 mulai 16 Mac 2014 yang diterajui oleh Penerbit Eksekutif, Muhamad Sufian Isa pada setiap hari Ahad jam 9.00 hingga 10.30 malam.