Tiga nama besar yang berkongsi satu pentas menerusi 'Konsert Teaterikal Suara Kita' bukan calang-calang orangnya. Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain pernah mencetuskan fenomena di dalam industri perfileman Melayu selepas filem 'Sembilu' dan 'Sembilu 2' mencecah kutipan lebih RM5 juta.
Selepas lebih 20 tahun bintang mereka dicipta oleh pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam, mereka sekali lagi kembali mencipta sejarah baru. Ternyata, gemerlap bintang mereka tidak pernah suram. Malah, dilihat terus bersinar.
Perlu diakui, kehebatan ketiganya sukar dicari ganti. Tiada istilah Awie, Erra dan Ziana nombor dua. Kerana hanya mereka yang layak menyandang posisi itu sampai bila-bila.
Diusia yang masing-masing sudah menginjak angka 40 tahun, bukan satu halangan untuk beraksi di persembahan berskala besar. Aura bintang mereka masih sama seperti mula-mula muncul dalam industri.
Membuka tirai malam persembahan dengan lagu-lagu popular pilihan mereka, berjaya membawa penonton untuk terus kekal berada di tempat duduk masing-masing. Rasa gusar dan gundah pada mulanya untuk melihat mereka menyanyi secara 'live' hilang dek lontaran vokal yang mengasyikkan. Ternyata ia tidak mengecewakan.
Beralih ke babak kedua persembahan, konsert yang dibawakan secara eksklusif buat pertama kalinya oleh Awie Entertaintment ini memperlihatkan zaman kemunculan mereka sebagai pelakon.
Aksi dan babak-baka menarik menerusi filem-filem yang pernah dibintangi mereka seperti 'Sembilu', 'Sembilu 2', 'Maria Mariana', 'Maria Mariana 2', 'Merah' dan 'Tragedi Oktober' digambarkan dengan penuh emosi dan bersahaja.
Pertaruhan menggunakan khidmat pengarah hebat, Erma Fatima di dalam pementasan teaterikal ini sangat berbaloi. Hasil kerja dan garapan Erma menggabungkan filem-filem tersebut dilihat sangat kreatif.
Setiap babak diselitkan lagu-lagu yang pernah menjadi lagu tema filem berkenaan turut disampaikan secara 'live' oleh mereka. Satu lagi pujian buat mereka. Bukan senang untuk berlakon dan menyanyi dalam satu masa. Paling penting, mereka tidak 'miming'.
Paling mendapat perhatian juga adalah lakonan mereka yang ternyata cukup menarik perhatian. Tidak sama sekali dilihat canggung, baik Awie, Erra dan Ziana mereka bijak menjadikannya sesuatu yang manis untuk dikenang sampai bila-bila. Meski babak-babak yang dilakonkan semula adalah yang 20 tahun lalu, tetapi untuk kali ini mereka lebih 'memberi' dengan 'mood' yang berbeza.
Bagi anda yang belum menyaksikan 'Konsert Teaterikal Suara Kita' ini, tiket-tiket masih boleh didapato secara online menerusi www.ticket2u.com atau terus sahaja ke Istana Budaya. Pementasa yang bermula pada 3 Mac lalu akan berakhir pada 9 Mac ini.
No comments:
Post a Comment