Menjelang pernikahan pasangan Syamsul Yusof dan Puteri Sarah esok, aktres cantik ini telah mengadakan majlis berinai dan solat hajat untuk bakal suaminya itu.
 
Difahamkan, kedua-dua majlis tersebut diadakan semalam selepas waktu Maghrib bertempat di kediaman Sarah dengan dihadiri oleh rakan-rakan terdekat.  Meski majlis persandingan terpaksa ditunda, Sarah sedikit pun tidak rasa kecewa.
 
Bagi gadis berusia 29 tahun itu, apa yang penting dan utama adalah majlis akad nikah.  Dan selepas Syamsul sembuh barulah mereka akan mencari tarikh yang sesuai untuk majlis persandingan di sebelah pihaknya.
 
Apa yang pasti juga, majlis persandingan tetap akan diadakan di lokasi sama dalam bulan ini iaitu di Dewan N'dah Mahligai Shah Alam iaitu sebelum majlis resepsi sebelah pengantin lelaki.