Monday, February 24, 2014

Luluh hati ibu lihat 2 anak bergelimpangan

Luluh  hati ibu lihat 2 anak bergelimpanganHaizum dan Asmaida (gambar kecil) maut selepas terbabit dalam nahas di Kilometer 98, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, di Laloh, semalam.
Kuala Krai: Seorang wanita hampir pengsan sehingga terpaksa dipapah apabila melihat mayat dua anak perempuannya ditutup kain di atas jalan, selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 98, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, di Laloh dekat sini, semalam. 

Rohani Mohammad, 43, yang sedang menoreh getah di kebunnya, bergegas ke lokasi apabila dimaklumkan dua anaknya, Asmaida, 14, dan Haizum Ibrahim, 17, terbabit dalam kemalangan jam 7.30 pagi. 


Setibanya di lokasi yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya, wanita itu ternampak dua mayat ditutup kain di atas jalan raya. 


Dia menguatkan semangat dengan mengangkat kain yang menutup mayat anaknya yang terletak kira-kira satu meter antara satu sama lain. 

“Hancur hati melihat dua mayat anak terbujur di atas jalan. Mereka sangat rapat dan saya tidak menyangka mereka pergi meninggalkan keluarga,” katanya. 


Dua beradik jadi ceria 
Rohani berkata, sejak kebelakangan ini, dua anaknya itu begitu ceria dan banyak bercakap, malah mereka sering mahu berada bersamanya. 

“Paling ketara kedua-duanya sentiasa mahu bersama dengan saya... seolah-olah mereka tahu akan meninggalkan saya selama-lamanya,” katanya. 

Dalam kejadian itu, mangsa menaiki motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang Haizum, berlanggar dengan sebuah kereta dari arah Kuala Krai menuju Gua Musang ketika keluar simpang untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Laloh. 

Dua beradik dari Kampung Jelkis, dekat Lata Rek, meninggal dunia akibat parah di kepala. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Nuraddin Wahab, berkata dua beradik itu tercampak beberapa meter selepas dirempuh PROTON Perdana yang dipandu pengurus bank berusia 54 tahun. Lelaki itu hanya cedera ringan. 

Siasatan awal mendapati motosikal itu melanggar bahagian kiri hadapan kereta sebelum tercampak dalam keadaan agak gelap dan berkabus. 

“Mangsa yang tidak memakai topi keledar tercampak di atas jalan beberapa meter. Mayat dua beradik itu dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk bedah siasat,” katanya.



Sumber Berita Harian

No comments:

Post a Comment